Tarian Yang Lembut Menjadi Asas Kepada Pukulan Yang Keras.!
Percayakah anda semua bahawa lagenda Kung Fu dunia Bruce Lee amat meminati seni bela diri melayu iaitu Silat? Mengapa tuan-tuan? Apakah rahsia yang terkandung dalam seni bela diri melayu itu yang menjadi minat nya? Saya tinggalkan persoalan ini buat anda semua!
Apa perlunya tari-menari semua ni tuan-tuan? Ada yang kata… lecehlah!!! Ada juga yang kata kerja-kerja tari menari ni kerja wanita… anak-anak muda yang macho zaman sekarang dah tak minat silat sebab kononnya kena banyak belajar tari-tari dan gerak lenggoknya, nampak lembik dan tak ganas, jadi mereka lebih gemar belajar seni bela diri yang nampak lebih ganas.Persepsi begini memang silap saudara..
Sebagai contoh… sila lihat bagaimana tarian yang dikatakan lembut itu menjadi asas kepada gerak dan pukulan yang keras malah menjadi pukulan-pukulan maut selepas itu.Maaf jika saya bagi contoh dari filem Thai, sila Klik Sini
Hasil dari gerakan tari yang lembut diatas, anda boleh melihat pukulan-pukulan yang keras dan hebat dalam aksi pertarungan dibawah:
Bukan maksud saya untuk mengagung-agungkan kehebatan seni bela diri diatas dan merendahkan Silat melayu, tetapi ianya hanya sebagai satu contoh untuk kita berfikir!
Dari cara dan gerak tari diatas, ianya mirip tarian melayu dan boleh ditonton dalam permainan Makyong! Apakah gerak tari dari seni bela diri diatas mempunyai persamaan dan asal usul yang sama dengan beberapa jenis silat di alam melayu ini? Saya tinggalkan persoalan ini kepada anda yang lebih arif dalam hal ini.Semoga sama-sama boleh berkongsi ilmu di blog ini.
Oleh kerana saya bukanlah orang yang ahli dalam ilmu persilatan ini, maka rasanya elok saya siarkan satu artikel yang ditulis oleh mereka yang ahlinya[dari web khalifahgayong], yang saya kira maksud penyampaiannya dan penulisannya hampir sama dengan apa yang ingin saya sampaikan, jadi tak payah lah saya buat research banyak banyak! izinkan saya siarkan atau Klik sini untuk membaca artikel penuh. sila KLIK
************************************************
Artikelnya seperti berikut :
[[…Seni Silat Pusaka Bangsa
Seni silat merupakan salah satu tradisi peninggalan nenek moyang Bangsa Melayu yang kini kian ditelan zaman. Silat begitu sebati dengan kaum melayu di seantero kepulauan melayu terutama Malaysia dan Indonesia. Jika kita selidik, terdapat berpuluh-puluh jenis silat yang terdapat di tanah melayu ini, bahkan mungkin beratus jenis silat.
Silat merupakan sejenis tarian atau gerakan mempertahankan diri ataupun tarian perang. Pergerakan tari silat yang lembut tersirat pukulan-pukulan maut dan gerakan menepis atau mengunci musuh. Jika dilihat dengan mata kasar kita tidak nampak apakah maksud di sebalik gerakan tari silat tersebut. Bahkan ada yang memandang rendah terhadap kemampuan silat dalam seni mempertahankan diri kerana dianggap lembik dan tidak glamour. Aku pun dulu pernah terfikir belajar boxing lebih baik daripada belajar silat. Buat apa belajar silat dengan tari-tari yang tidak dapat digunakan ketika berlawan. Masa berlawan, takkanlah nak menari lagi…itulah pandangan sinis daripada orang-orang yang tidak tahu nilai seni silat termasuk aku. Boxing lebih baik sebab Nampak pukulannya dengan jelas, dengan hayunan penyepak yang bisa menjatuhkan lawan dan siku yang boleh membelah tempurung kepala musuh. Tari boxing atau langkah sembah kelihatan lebih gagah dan megah sesuai dengan jiwa aku yang suka lasak heheh…itu dulu, dan setelah aku mendalami ilmu persilatan baru aku merasai kehebatan Seni Pusaka Tuah ini.
Barulah aku sedar rupa-rupanya aku silap…silap menilai pusaka yang telah banyak membunuh musuh, menghalau penjajah, mempertahankan negeri. Apakah senjata yang digunakan datuk nenek kita sewaktu melawan penjajah kalau bukan dengan silat. Walaupun berparang, berkeris atau bersenjata , silatlah yang menjadi tonggak menghunus senjata-senjata tersebut. Keadaan berlawan pada zaman dulu adalah dalam jarak dekat, oleh itu tidak dapat lari dari silat kerana kita tahu seni mempertahankan diri melayu adalah silat. Silat adalah seni mempertahankan maruah tertua bagi bangsa melayu. Keris pula merupakan senjata yang sinonim dengan silat, dan lambang bagi bangsa melayu.
Dalam kelembutan ada ketangkasan, dalam ketangkasan ada pukulan, Dalam tarian terkandung seribu jurus, itulah kehebatan silat. Pun begitu, silat hanyalah ilmu untuk mempertahankan diri bukan untuk menunjuk-nunjuk kehebatan sendiri. Gerakan silat yang lemah lembut menunjukkan kelembutan orang melayu yang sinonim dengan bangsa melayu yang kaya dengan budi bahasa dan sopan-santun hatta dalam bertempur sekalipun. Ini ialah Seni Silat. Manakala bila berGayong tidak ada lagi tari dan kelembutan . Ianya lebih menumpukan kepada ketangkasan, ketepatan dan kemusnahan. Pasal tu Arwah Dato Meor mengatakan Gayong adalah khusus untuk berperang.
Biarpun begitu, segelintir sahaja yang minat dengan ilmu silat. Generasi muda sekarang didedahkan dengan ilmu mempertahankan diri seperti taekwon-do, karate, judo dan sebagainya yang Nampak gah berbanding silat melayu. Seolah-olah silat melayu tidak begitu bernilai ataupun tidak dapat menyaingi kehebatan ilmu mempertahankan diri lain. Apakah ini kerana ketiadaan guru-guru silat yang membuka kelas atau darjat silat yang dianggap kekampungan menyebabkan tiada selera anak muda dengan silat…?
Jika menyelusuri sejarah silam, alangkah beruntungnya kita kerana dapat mewarisi ilmu ini. Bukan kerana kemegahan atau keegoan, tetapi kerana betapa besarnya nilai sesebuah ilmu persilatan itu. Pada masa aku kecil, diceritakan ketika tercetusnya pergaduhan kaum semasa 13 Mei 1969 , selepas benteng tentera dan polis..Silatlah yang mempertahankan kaum melayu. Terutamanya Silat Seni Gayong dan Selendang Merah pimpinan Kiyai Salleh
Antara Silat Segera dan Fast Food
Jika dilihat senario sekarang berlambak wujudnya silat segera yang belajar pun nak segera.. Guru-guru silat pun lebih ramai daripada anak murid. Silat gaya pos pun ada. Masukkan duit dalam akaun bank, guru akan menghantar senaskah amalan…Agaknya lebih tepat kita katakan Silat IT Namun yang paling BAHAYA ialah ada perguruan yang menggunakan khidmat JIN bagi menunjukkan kehebatan yang mencarik adat.. Rujuklah alim ulamak bagi membezakan diantara Karamah dan Istidraj.
Adapun silat berbentuk kebatinan amatlah rumit untuk mempelajarinya. Ini kerana kesilapan amalan boleh memberikan kesan buruk kepada pengamalnya. Inilah mungkin penyebab ketiadaan orang mahu meneruskan ilmu ini. Dimanakah hilangnya ilmu ibu gayong sendi gedang tunggal, semar alam tunggal, belah bumi kipas nandung, raja kipas nandung. Kalau ada pada seorang guru pun adakah dapat dipelajari dan menguasainya dalam masa 24 jam sahaja…Silat batin ini, menurut cerita-cerita orang tua, pokok kelapa boleh tumbang hanya dengan menolak angin sahaja. Musuh boleh terpelanting hanya dengan menghembus nafas dan boleh berdiri di atas daun pisang. itu semua adalah kehendak Allah kepada hambanya yang istiqamah dalam perjuangan menegakkan yang Haq dan menentang yang Batil. Cuma yang menjadi persoalan sekarang adakah ilmu ini sudah tiada pewarisnya. yang ada sekarang bolehlah dianggap ibarat
“mee maggi cepat dimasak sedap dimakan akhirnya MEMUDARATKAN BADAN”
Manakala silat yang tidak berbentuk kebatinan ini Kehebatannya tetap ada dan menyimpan rahsia yang tersendiri ( ambil rasa baru mengetahuinya ) . Namun tidak perlu kepada mengamalkan ayat-ayat tertentu dan sesuai dipelajari semua golongan. Pun begitu, masih ada ayat-ayat dan petua yang dijadikan sebagai pendinding atau amalan dalam silat tertentu. Seperti artikel lepas belajar biar berguru dan pemahaman Islam wajib dipertingkatkan dari masa ke semasa.
Setiap Gerak Ada SENI Setiap SENI ada RAHSIA
Gerakan-gerakan tari silat adalah berbeza antara satu sama lain.Antaranya Seludang Jatuh, Lenggang Janda, Benang Kusut, Merbah Berlaga, Kayuh Raja Beradu, Tarik Rotan Banar, Cacok Racik, Helang Berlegar, Helang Melayang, Angkat Pulut, Belah Udang, Bersikat, Limbai, Gajah Berdorong, Permainan Empat Penjuru, Langkah Tiga, Mengumpan Ayam Putih, Tikam Serong, Buang Luar, Buang Dalam, Belebat, Tembung, Parang, Dorong, Spelet, Panah Arjuna dan Sembah Lela dan pelbagai lagi. Tari-tari itu sebenarnya adalah teknik serangan atau menangkis yang digayakan dalam bentuk tari, lemah lembut sesuai dengan adat melayu bersopan santun. Namun orang ramai masih tertanya-tanya ialah silat tari atau silat jatuh, apakah ianya adalah silat perang atau sekadar untuk persembahan?..
“Dalam Gerak ada Tari.. dalam tari ada Buah.. Bila Buah DiPetik nescaya Musuhkan Rebah“
Manakala bila berGayong gerakan kita bukan lagi bersifat lembut bahkan setiap gerakan adalah untuk memusnahkan musuh, misalnya gerakan Rajawali, timang puteri, gerakan harimau, cindai dan lain-lain lagi. Pernah sekali saya melihat batu yang sebesar kepala kita hancur berkecai dipukul oleh Cikgu Awang di air terjun Titi Hayun dengan menggunakan kain pelikatnya semasa mengajar Seni Cindai. Itu bukannya kuasa kebatinan tetapi SENI ( momentun,halaju,ketepatan, daya.. ala saintifik lah katakan) kalau nak tahu bergurulah dengan yang mewarisi pusaka bangsa ini.
Jijok Angin
Misteri dalam silat ialah muziknya. Tiupan serunai dan gendang merupakan “pembakar semangat” yang meresapi seseorang pesilat… Pesan Arwah Dato Meor sekiranya Gayong ingin dipersembahkan hendaklah dibaca Sajak Gayong semasa persembahan dijalankan , pesilat akan bersemangat dan kemahuan dalaman membuak-buak menyuruh membuka sembah memula pencaknya. Inilah yang dikatakan “Angin silat ” sepertimana angin makyung, angin dikir,dan angin teri. Itulah misteri yang belum terungkai ..
Realiti Silat di Masa Kini
Teringat saya waktu kecil-kecil dulu, selepas sahaja menuai padi, gelangang-gelangang silat dibuka dikampung, kalau tidak pun gelangang boxing, anak-anak muda ramai yang datang belajar. Sebab itulah orang-orang dulu jarang yang tidak pandai bersilat, kalau tidak bersilat pun pandai boxing. Mereka gemar belajar, mungkin kerana tidak ada kerja yang nak dibuat, atau mungkin kerana hiburannya tak banyak seperti sekarang, tapi yang pasti mereka rajin menimba ilmu, lepas seperguruan seperguruan pula, lepas segelangang segelangang pula. Lepas mereka belajar silat jatuh, belajar silat tongkat pula, pendeknya mereka rajin.
*Rindu sekali untuk melihat anak bangsaku bersatu seperti di atas dan bergerak dalam satu saf demi perjuangan yang satu!
Kita tengok dulu jarang berlaku gejala sosial yang pelik-pelik seperti hari ini, kalau ada pun tak sama macam sekarang, yang menjadi ancaman dalam negara, yang mengusarkan hati semua orang. Apa tidaknya, kes bunuh, rogol, zina, subang muhram, bahkan seribu satu macam gejala yang terkadang letih untuk disebut berlaku setiap hari. Orang dulu belajar silat bukan semata-mata silat, mereka diasuh menghormati guru, bukan sahaja guru silat mereka, guru orang lain pun mereka hormat, menghormati ibubapa lebih lagi, mereka ada disiplin dan pantang larang. Boleh jadi budaya inilah yang mereka bawa dalam masyarakat. Mereka tak mudah bergaduh walau pun pandai bersilat, kadang-kadang makin pandai bersilat makin merendah diri, macam resmi padi makin berisi makin tunduk, tidak seperti ayam, bertelur sebiji riuh sekampung. falsafah yang diajar (Selagi air mata tidak mengalir, selagi darah tidak menitis jangan pukul orang sekali-kali). Ini sesuai dengan ajaran Islam kalau diamalkan.
Yang pelik bin ajaibnya kenapa budak-budak hari ini jarang yang berminat kearah itu, tidak seperti orang dahulu. Mereka lebih suka merempit yang sudah pasti mengundang geruh, ada yang suka telan pil kuda sehingga hidup tak keharuan bahkan macam-macam lagi. Syabas dan tahniah kepada Penggerak Pusaka Bangsa yang berjaya mendidik anak bangsanya sendiri, ilmu dan usaha yang baik itu pasti akan direstui Allah. Istiqamah lah kita semua insya Allah.
Umat Melayu Menjunjung Tinggi
Kita harus sedar bahawa proses menghargai seni pusaka bangsa pada diri seseorang adalah tertanam sejak mereka lahir. Misalnya Anak yg baru lahir sedang menyusu pada ibu biasanya mendengar dodoi, dendangan dan nyanyian belaian ibunya akan tersemat rasa seni itu pada jiwa mereka. Makin besar anak itu makin bertambah pengalaman seni pada diri mereka. Seni muzik, seni suara, seni tari, seni silat akan mempengaruhi anak2 itu.
Dalam hal ini mereka akan merasa senang dan puas hati bilamana mendengar atau melihat apa yang telah di alami oleh mereka semasa kecil dahulu. Mungkin kepada peringkat yang telah berumur akan merasa puas hati dan bersemangat serta gembira bila serunai dan gendang silat di mainkan, lagu makyung di alunkan, lagu dikir barat di nyanyikan dan di hayati oleh generasi tersebut. Pepatah ada menyebut ” tempat jatuh lagikan dikenang inikan pula tempat bermain”. Anak kita masih dapat dan sempat mengalami pengalaman ini, tetapi cucu-cucu kita mungkin proses penerimaan nya sudah mula berkurangan. Anak yang berkurangan pengalaman oleh kerana tiada bersambungnya seni tersebut tidak dapat menghayati rasa seni lagi sebagaimana ayah dan datuk mereka dahulu.
Dalam masa 20 tahun saja jika di perhatikan bahawa anak muda yang lahir menjadi sudah pun berumur 20 tahun. Oleh kerana kekurangan pendedahan kesenian tradisi kita, maka minat mereka sudah pudar. kepada mereka bunyi gong gendang, serunai rebab adalah sebagai bunyi bising yg menganggu mereka sahaja, sedangkan bunyi alat2 tersebut bagi orang2 tua mereka adalah satu kemegahan dan timbul rasa puas hati.
Penurunan permainan tradisi amat ketara pada mereka sudah tiada lagi. Seni Silat ,Makyung, Wayang kulit, dan lain-lain yang tinggi nilai seninya sudah tidak dapat di hayati lagi. Hal-hal seperti ini sekali lagi tidak dapat di persalahkan kepada mereka. Apa yang penting sekarang ialah kita yang masih ada ini hendaklah menjadi kesinambungan kepada generasi terdahulu yang telah pergi meninggalkan kita supaya pusaka tradisi kita tetap terjaga , terpelihara dan di kembangkan kepada generasi muda.
Sehebat dan Segagah silat yang pernah menyanjung nama bangsa Melayu pada kurun terdahulu, adakah masih kuat untuk melawan arus abad kini. Bangsa Melayulah yang harus mempertahankannya, sebagaimana silat pernah mempertahankan bangsa melayu dahulu. Takkan hilang Melayu di dunia…Melayu akan hilang jika identiti Melayu ini hilang…
Anak langsat dibuat tongkat
Keris lembing senjata melayu
Usaha kita membawa berkat
Menyuburkan seni agar tak layu.
“Ilmu kaloh pada Petua, Petua kaloh pada Raso”
Pesan arwah Tokku
Aku dan gayong
www.khalifahgayong.wordpress.com …]]
*******************************************************
Berikut adalah beberapa contoh gerak tari silat saja , maaf kepada ahli seni bela diri lain yang tidak diletakkan video atau linknya disini .
Amat menarik, begitu berseni dan harmoni sekali pergerakan silat mereka dibawah ini !
Akhir sekali pesan saya, jangan jadi “lelaki Melayu lembut berterusan bersifat sotong”… jadilah lelaki melayu yang lembut budi bahasanya, beradab dan bersopan dengan orang tua tetapigagah perkasa di medan juang untuk membela Agama,bangsa dan tanahairnya yang tercinta!
Hidup Silat warisan pusaka bangsa kita!!!
Hidup seluruh persatuan seni silat di alam melayu yang berpaksikan Al-Quran dan sunnah!!! Amin!
Hidup seluruh persatuan seni silat di alam melayu yang berpaksikan Al-Quran dan sunnah!!! Amin!
petikan : http://sangtawal.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan