Zaini Hassan - cuit, Utusan Malaysia
GEOPOLITIK I:
KUALA LUMPUR masih lagi menjadi ibu negara Malaysia, namun pusat pentadbiran kerajaan kini sudah berpindah ke Putrajaya. Kuala Lumpur dan Putrajaya berada di bawah negeri yang sama iaitu Wilayah Persekutuan.
Dari segi strategik geopolitik ia amat penting bagi mana-mana parti politik terutamanya yang memerintah. Ia merupakan powerhouse negara. Di situlah tempat letak Parlimen Malaysia, dan juga pernah menjadi lokasi cabang eksekutif dan kehakiman kerajaan persekutuan yang kini bertapak di Putrajaya sejak tahun 1999. Namun begitu, terdapat beberapa cawangan kehakiman yang kekal di ibu kota ini. Kediaman rasmi Yang di-Pertuan Agong, iaitu Istana Negara, juga terletak di Kuala Lumpur. Bandar raya kosmopolitan ini juga merupakan pusat kebudayaan dan ekonomi Malaysia.
Namun, keadaan, kebijaksanaan dan tenaga saja yang akan menentukan siapa yang akan berjaya menguasai wilayah ‘rumah-kuasa’ itu.
Geopolitik membawa maksud seni dan praktis menganalisis, meramal dan menguasai dengan menggunakan kuasa politik ke atas sesebuah wilayah. Secara ringkas, geopolitik menunjukkan hubungan antara kuasa politik dan ruang geografi. Mudah kata, siapa yang menguasai kawasan apa dan bagaimana ia mahu mempertahankannya daripada dikuasai oleh pihak yang bertentangan.
Apakah peranan parti-parti politik dalam membuat analisis mengenai geopolitik? Sudah tentu pihak BN dan pembangkang sama-sama rancak membuat ramalan dan kajian mengenainya. Siapa leka dan gagal melihat ke hadapan mengenai aspek ini, maka dia akan rugi dan kalah.
Pihak yang menang, hanya akan menang secara tidak sengaja kerana kelalaian pihak yang menguasainya.
Geopolitik itu berhubung rapat dengan soal pilihan raya. Kawasan mana yang ditandingi dan kawasan mana yang dikuasainya. Sebelum pilihan raya bermula semua pihak akan membuat analisis dan ramalan mengenai kekuatan masing-masing. Yang lemah akan dikuatkan. Yang kuat akan dipertingkatkan.
Bagi kawasan Wilayah Persekutuan (tidak termasuk Labuan) ia mempunyai 12 kawasan Parlimen iaitu Kepong, Batu, Wangsa Maju, Segambut, Setiawangsa, Titiwangsa, Bukit Bintang, Lembah Pantai, Seputeh, Cheras, Bandar Tun Razak dan Putrajaya.
Saya menerima satu analisis pendaftaran pemilih oleh parti-parti politik dari 1 Januari hingga Disember 2010. Dan hasilnya begitu mengejutkan, sudah tentulah di sebelah pihak pemerintah.
Lihat senario ini: Jumlah yang berjaya didaftarkan oleh BN dalam tempoh itu ialah 17,181 pemilih atau 35.45 peratus.
Sementara pembangkang PR ialah: 31,285 pemilih atau 64.55 peratus!
Lihat perbandingan parti-parti yang bekerja keras untuk mendaftarkan atau menarik orang ramai menjadi penyokong mereka: UMNO (4,605), MCA (1,679), MIC (1,990), Gerakan hanya 36 dan PPP (8,871).
Daripada 12 kawasan Parlimen itu, Gerakan hanya berjaya mendaftarkan hanya 36 orang di hanya satu kawasan iaitu Setiawangsa.
Lihat pembangkang PR: DAP 14,718 pemilih, Pas (1,073) dan PKR tercemerlang dengan (15,494). DAP berjaya mendaftarkan sebanyak 7,195 pemilih di Segambut, 2,764 orang di Seputeh dan 2,481 orang lagi di Cheras.
Sementara Pas tidak banyak yang berjaya didaftarkan. Ia hanya mencatatkan secara signifikan di Putrajaya sebanyak 327 orang dan di Bukit Bintang 234 orang.
Namun PKR berjaya mendaftarkan 7,630 di Setiawangsa, 4,593 (Batu), di Bandar Tun Razak (1,371) dan Kepong 1,248 pemilih baru.
Berdasarkan analisis BN, kita dapati PPP begitu cemerlang mendaftarkan pemilih baru, sementara Gerakan hampir tidak berfungsi.
Itu di Wilayah Persekutuan. Di Selangor pula, saya enggan dedahkan angkanya di sini namun, PR telah rancak membuat pemindahan pendaftar di kawasan-kawasan yang ia lemah bagi menguatkan geopolitik mereka.
Tidak perlu saya tulis panjang-panjang, renung-renungkanlah.
GEOPOLITIK 2:
Hilang lagi warisan Melayu di Kuala Lumpur?
TAJUK di atas merupakan sepucuk surat yang saya terima baru-baru ini. Penulis membahasakan dirinya Anak Jati Melayu Kuala Lumpur.
Ia menceritakan mengenai kegelisahannya yang melihatkan kubu-kubu kuat atau geopolitik orang Melayu di Kuala Lumpur semakin terhakis dan hilang atau tinggal nama sahaja. Penulis itu menceritakan mengenai nasib Kampung Abdullah Hukum dan Kampung Kerinchi. Itu tidak termasuk Kampung Sungai Penchala yang kini tercacak kondo-kondo mewah yang tidak mampu milik oleh orang Melayu. Kampung Datuk Keramat juga sudah disentuh untuk dibina kondo mewah Datum Jelatek.
Sebenarnya, kebimbangan orang Melayu Kuala Lumpur yang terpinggir akibat pembangunan pernah dibahaskan oleh Pemuda Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Perhimpunan Agung UMNO yang lepas.
Berikut ialah tulisan Anak Jati Melayu Kuala Lumpur. (Nota: Oleh kerana nadanya sedikit marah, benarkan saya membuat sedikit suntingan.)
WAH. Rata-rata sibuk dengan kesedihan kampung Melayu yang hilang di Pulau Pinang seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku di tempat yang lebih gah iaitu Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia.
Sikap mengambil tahu nasib orang Melayu di tempat lain sibuk diberatkan sedangkan satu lagi kampung Melayu akan lenyap di Kuala Lumpur tidak diendahkan.
Nama Kampung Kerinchi akan hilang satu hari lagi, ke mana perginya orang Melayu dan di mana entiti Melayu di Kuala Lumpur? Entiti bangsa Cina dengan “China Town di Petaling Street” dan baru-baru ini, demi menjaga muhibbah, entiti India mula diperkenalkan iaitu “The Little India” di Brickfields, Kuala Lumpur. Di mana entiti bangsa Melayu? Kampung Baru?
Mari kita ingat kembali, mula-mula Kampung Abdullah Hukum yang hilang dan tempatnya digantikan oleh pembangunan yang gah iaitu Mid Valley Megamall, bukan milik dan untuk orang Melayu.
Ke mana orang Melayu Kampung Abdullah Hukum? Apa terjadi pada penduduk flat Melayu di situ? Adakah mereka terbela atau terbuang dan hilang dari Kuala Lumpur atau masih tinggal di kawasan sekitar dengan gantirugi yang setimpalkah? Masih tiada yang mengambil berat situasi seperti ini.
Kemudian, Kampung Kerinchi pula menjadi idaman pemaju luar yang mengambil kesempatan untuk membangunkan pelbagai pembangunan yang menguntungkan. Kawasan kampung ini telah menjadi “Highest and Best Use”. Orang Melayu terjual lagi. Pembangunan “The Sphere” dan “Bangsar South” antara nama komersil yang digunakan bagi menaikkan lagi taraf kawasan tersebut.
Bagaimana dengan nama Kampung Kerinchi? Busukkah nama itu? Kenapa perlu dibuang dan kenapa kewujudan kampung Melayu perlu diusik?
Selama 30 tahun mereka tinggal di situ. Pelbagai usaha dijalankan termasuklah penyingkiran secara ‘beradab’ tanpa disedari serta dikaburi dengan pelbagai impian ‘virtual life’.
Ramai di antara mereka tidak menyedari bahawa mereka adalah orang Melayu yang dikhianat oleh bangsa sendiri.
Namun, salahkah kita memperjuangkan nasib orang Melayu yang ditindas. Bangsa Melayu tidak bodoh, masih ada dan masih mencari kebenaran serta mempertahankan hak Melayu agar tidak lenyap di Kuala Lumpur. Bangunlah bangsaku dan jagalah jati dirimu agar tidak dipermainkan oleh orang-orang yang suka mengambil kesempatan ke atas kamu. - Anak jati Melayu, Kuala Lumpur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan